Petang itu sedang aku duduk menghadap meja plastik untuk empat orang di sebuah kedai makan tidak jauh dari rumah, rokok Dunhill lemau tersepit di celah jemari runcing, kunci kereta Kancil tergenggam di tangan kiri, rambut serabai disisir jari dan muka mirip cokodok kerana baru mandi, aku terlihat gondola beroda dua yang amat kunanti-nanti perlahan-lahan datang menghampir lalu berhenti kurang dua inci dari lututku.
Penunggang gondola statik itu tidak senyum seperti kebiasaannya. Dia turun, lantas duduk di sisiku. Penunggang gondola tidak bersendirian petang itu. Rakan sejenayahnya yang agak lazat jika kamu mampu melihat melewati tahi lalat yang agak besar di tepi hidungnya itu datang bersalaman dan dia duduk bertentangan dengan aku. Rokok yang masih terbakar dicapai dan dihisap penuh selamba oleh si penunggang gondola. Rakannya pula sibuk bertekak dengan mamak yang baru memunculkan diri dari belakang dapur.
Aku tahu pasti ada sesuatu yang menekan dadanya, cuma aku tidak pasti apa. Mahu ditanya takut dimarah, mahu dibiar bisu khuatir dipresinya melarat. Akhirnya setelah sebatang rokok habis dihisap, dia melempar puntung itu ke longkang dan merangkul jemariku. Dengan muka monyok aku tahu ada suatu masalah maha berat sedang berlegar di pundaknya. Aku diam. Menanti untuk sepasang bibir mungkin miliknya itu untuk bergerak dan membutirkan kata-kata.
“Awak…”
Aku dongak. Tatap wajahnya dengan satu pengharapan yang kabur.
“Saya sedihlah... dah lama tak dapat konek.”
Pengharapanku yang kabur tadi terus bertukar warna. Bukan magenta atau turkois atau apa jua warna yang susah hendak disebut mahupun dieja tetapi hitam. Bagaimana hitamnya malam kelmarin, warna tengah malam selepas hujan lebat. Telingaku hampir tidak mahu percaya. Jejaka di sebelahku ini berkata sedemikian rupa?
Aku dan rakan sejenayahnya saling berpandangan untuk sesaat sebelum dua pasang mata ini tertumpu padanya. Serta-merta bibir aku mengering tanpa sebab.
“Huh?” Itu yang aku sempat dengar terbebas dari mulutku sendiri.
“Ini…” Balas si penunggang gondola sambil mengeluarkan komputer riba kecil moleknya dari beg sandang yang dibawa. “Dah tiga hari saya tak dapat konek ke internet. Nak periksa Facebook pun tak boleh. Geramnya.” Dia mengeluh sambil menghidupkan kotak lipat itu.
Aku pekup mulut, cepat-cepat menahan tawa yang giat terbentuk. Mujurlah dia comel. Kalau tidak……
Sedikit Cuplikan Tentang Makhluk Aneh Ini:
shandye juga kerap menceceh tidak tentu hala di Monyet Merah Jambu Menulis. Setiap Selasa makhluk aneh ini mesti mahu membebel di 100p. Dia juga rajin melepaskan burung-burung biru di Twitter. Klik label shandye untuk membaca semua bebelan makhluk aneh ini di 100p. Terkini, makhluk aneh ini telah menulis S'petang Bersama Kamu | Bab: 22.
Kthnxbai!
1 comment:
Danggggggg! hahahahahaha.
Post a Comment