Bila bercakap tentang layanan istimewa, pasti ada yang merancang melakukan pelbagai aktiviti menarik. Apatah lagi, jika ia berlaku di hujung minggu. Pasti ada yang membawa ibu mereka serta ahli keluarga yang lain ke restoran-restoran mewah dengan makanan-makanan mahal serta lazat. Bagi yang lebih suka dengan suasana tenang dan nyaman, dikelilingi dengan alam flora dan fauna, mereka akan membawa ahli keluarga pergi berkemah di pantai ataupun di kawasan air terjun di tengah hutan.
Bagi mereka yang tidak suka keluar hujung minggu akibat kesesakan trafik dan kepenatan bekerja, mereka lebih suka menyambut acara sebegini di rumah dengan ahli keluarga, meluangkan masa bersama sambil menonton tv. Walaupun nampak normal dan bersahaja, keriangan tersebut ditambah dengan penyediaan kek dan jamuan istimewa serta penyediaan hadiah unik untuk ibu tersayang.
Walaupun sambutan-sambutan sebegini adalah suatu kemestian ataupun tradisi di dalam mana-mana keluarga, dan ia juga mengembirakan sesiapa sahaja yang disambut, terdapat satu lagi cara untuk menghargai ibu kita yang tersayang. Cara ini sangat mudah dan senang. Bahkan, ia tidak memerlukan sesen pun. Apa yang penting, adalah kekuatan dan keberanian untuk mengucapkan kata-kata tersebut.
1. Maafkan Saya
Selama ini, pasti ada kita melakukan kesilapan dan kesalahan, terutama sekali kepada ibu kita. Aku pasti, kadangkala, kita tidak dapat memenuhi kehendaknya ataupun menguris hatinya tanpa disedari. Kadangkala, mungkin kita terlepas cakap, ataupun mengucapkan kata-kata yang lawak bagi kita tetapi sebenarnya menyakiti hati mereka. Dalam hal ini, perkara yang sudah semestinya kita lakukan adalah meminta kemaafan daripada ibu kita. "Maafkan saya". Hanya dengan dua patah perkataan ini, pasti lembut hati mereka bila kita mengakui kelemahan dan kedaifan diri sendiri. Dan jangan tunggu sehingga Hari Raya baru nak mintak maaf. Ianya mungkin sudah terlambat apabila mereka sudah tiada.
2. Terima Kasih Ibu
Kita "berhutang" terlalu banyak dengan ibu kita. Pada mulanya, mereka menjaga kita di dalam kandungan selama 9 bulan. Untuk menjaga kita, mereka menjaga tubuh badan mereka dengan sangat baik sekali supaya anak dalam kandungan tiada cacat dan boleh hidup dengan sihat dan ceria. Kemudiannya, untuk melahirkan kita, mereka bertarung berhabis-habisan, bersabung nyawa untuk melahirkan kita di muka bumi ini. Dalam meningkat dewasa pula, pasti banyak sumbangan yang mereka lakukan terhadap kita. Sama ada yang nyata ataupun tidak nyata, yang mereka lakukan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Walaupun begitu, adalah satu kemestian bagi kita untuk mengucapkan "Terima Kasih Ibu" atas segala sumbangan mereka itu. Pemberian hadiah dan cenderamata mungkin cara yang terbaik untuk menunjukkan betapa berharganya mereka, tetapi mengucapkan "Terima Kasih Ibu" adalah cara yang terbaik, supaya mereka tahu dengan jelas dan nyata, bahawa kita sangat menghargai mereka.
3. Saya Sayangkan Ibu
Bagi sesetengah orang, mereka melakukan bermacam-macam perkara untuk membuktikan betapa mereka sayang terhadap ibu mereka. Walaupun ia setakat melakukan kerja-kerja rumah seperti membasuh serta menyidai pakaian, menyapu sampah ataupun memasak. Mereka melakukan yang terbaik untuk menyenangkan hati ibu mereka. Bagi sesetengah remaja pula, yang di dalam peringkat rebellious phase, melakukan segalanya semata-mata membuktikan niat dan maksud yang terpendam dalam diri mereka. Maka, walau apapun tindakan yang kita lakukan, ia tidak bermakna jika ibu kita tidak mengerti maknanya. Oleh sebab itu, kata-kata "Saya Sayangkan Ibu" adalah cara yang terbaik supaya mereka tahu. Supaya mereka tidak risaukan tentang diri kita. Supaya jiwa mereka tenang dan minda mereka senang apabila mereka mengetahui betapa sayangnya kita terhadap mereka.
Secara kesimpulannya, terdapat pelbagai cara dan kaedah untuk menunjukkan betapa berharganya ibu kita dalam hidup ini. Tetapi cara yang terbaik adalah meluahkannya secara terang dan jelas. Supaya mereka tahu kita menyesal terhadap segala silap dan salah kita, supaya mereka tahu kita bersyukur apabila mereka berada di sisi, supaya mereka tahu betapa sayangnya kita terhadap mereka.
syaftome
Happy Mother's Day
Mengenai Penulis Entri Ini :
syaftome juga penulis untuk blog Tour of My Existence. Anda boleh mengikuti beliau di sini pada setiap Isnin. Untuk membaca semua hasil penulisan beliau di blog 100penulis.com, anda boleh klik label syaftome. Entry terbaru di blog beliau ketika ini ialah The Best Present A Mother Could Have.
syaftome juga penulis untuk blog Tour of My Existence. Anda boleh mengikuti beliau di sini pada setiap Isnin. Untuk membaca semua hasil penulisan beliau di blog 100penulis.com, anda boleh klik label syaftome. Entry terbaru di blog beliau ketika ini ialah The Best Present A Mother Could Have.
2 comments:
agreed! there's a million way to show it =) and it should continuously, not only on a specific day ^^
yeah...there's a lot of ways...
and yes...mother's day shouldn't be celebrated on just one day..
Post a Comment