Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.
Salam 1 Malaysia.
Apa khabar semua?
Agak lama saya menyepi.
Tugasan sebagai tenaga pengajar memang sangat menuntut waktu hingga perlu
dikesampingkan banyak perkara lain termasuk bercuti.
Sekarang ini, universiti
sudah lengang. Sebahagian besar pelajar sudah pulang ke kampung masing-masing
dan menjalani cuti panjang. Mungkin anda beranggapan, saya akan mempunyai
banyak masa luang apabila semester sedang bercuti panjang sebegini. Begitukah?
Sebenarnya tidak. Pada pertengahan
semester, kami (tenaga pengajar) perlu menyediakan soalan peperiksaan. Pada hujung
semester, belumpun peperiksaan bermula, kami perlu menyemak dan memberi markah
untuk semua kertas kerja dan tugasan yang pelajar hasilkan. Seterusnya memeriksa
kertas peperiksaan apabila musim peperiksaan tiba.
Belumpun siap memeriksa
kertas peperiksaan, ketika ramai pelajar berbondong-bondong balik kampung
jalani cuti semester yang panjang, sebahagian daripada pelajar ini mengikuti
semester tiga yang lebih singkat berbanding semester biasa, iaitu 7 minggu
sahaja. Lalunya, rutin tenaga pengajar
yang mengendalikan semester singkat ini juga masih lagi terlompat-lompat
mengejar waktu; antara menyiapkan markah peperiksaan semester dua lepas dan
berkejar ke dewan kuliah semula. Semua itu belum lagi termasuk kerja-kerja
pentadbiran, mesyuarat, kursus, bengkel, seminar, pembentangan, penyelidikan
dan melakukan kerja-kerja penulisan.
Saya kerap diajukan
persoalan;
i. “cuti
sekolah, balik kampung tak?” Yang cuti itu sekolah, universiti tidak bercuti.
Jadinya memang saya tak sempat untuk balik kampung. Bukan tidak rindu kampung
halaman, namun rentetan tugas yang sentiasa tidak pernah habis membuatkan masa
tidak sempat untuk dikejar. Akhirnya, sudah tiba akhir tahun...rupanya belum
sempat bercuti lagi.
ii.
“dah
cuti semester ni...banyaklah masa ya”. Yang cuti semester itu mahasiswa
universiti. Kami yang berkerja di universiti masih lagi perlu memenuhi waktu
berkerja seperti biasa kerana dibekalkan sejumlah cuti tahunan (walaupun sangat
kurang berkesempatan untuk mengambilnya). Pada musim pelajar bercuti
sebeginilah kami akan memantapkan ilmu dan kepakaran dalam bidang masing-masing
untuk membentangkan kertas kerja, melakukan penyelidikan, malah menstrukturkan
semua program-program di universiti seperti diingini kementerian pengajian
tinggi.
iii. “Seronoklah
boleh berjalan merata tempat...kerajaan Malaysia yang menaja” ayat sebegitu
saya akan terima apabila pergi atau kembali dari mana-mana perjumpaan, seminar
atau persidangan terutama apabila melibatkan luar negara. Sepatutnya begitulah,
kerajaan malaysia akan menaja kami kerana keluarnya kami ke merata ceruk rantau
dunia ini membawa nama Malaysia, nama universiti juga. Namun, hakikatnya, kami
tenaga pengajar tidak sepenuhnya diberi tajaan sebegitu sepanjang masa. Ada hadnya.
Ada jumlah tertentu yang ditaja yang ada kalanya tidak masuk akal juga jumlah
tajaan berkenaan. Sekiranya komited dengan kerja, kepakaran dan ingin menambah
pengalaman, peluang serta meningkatkan kerjaya pada masa hadapan, ramai antara
tenaga pengajat di IPT sanggup mengorbankan perbelanjaan sendiri bagi memenuhi
tuntutan itu. Sebenarnya, tidak
seseronok manapun melaburkan duit sendiri untuk memenuhi tuntutan kepakaran
kerjaya berbanding pergi melancong yang sangat menyeronokkan. Namun,
sebenarnya, masih ramai dikalangan tenaga pengajar universiti di Malaysia masih
sanggup berkorban hingga tahap itu. Semnuanya kerana kerjaya, kerana minat,
kerana kesungguhan untuk memenuhi tuntutan dan keperluan terhadap kepakaran mereka.
iv. “Dah
pergi banyak bengkel, kursus, seminar...banyak dapat elaun dan mudah naik
pangkat”. Ini juga satu lagi salah anggapan tentang tenaga pengajar yang
bertugas di universiti. Pak cik saya sendiri selalu menggunakan ayat ini. Saya
tak boleh salahkan dia kerana, dia didedahkan dengan suasana kerja sebegitu.
Pulang sahaja dari bengkel atau kursus, dia akan dapat elaun, ada kenaikan gaji
kerana kononnya tahap kepakaran juga meningkat. Bagaimana pula dengan tenaga
pengajar seperti saya?
Sekiranya
cara sebegini yang diaplikasikan kepada tenaga pengajar, saya sangat suka.
Teramat suka. Sangat bertuah. Tak mustahil tenaga pengajar boleh dapat gaji
hingga ratusan ribu ringgit sebulan kerana dalam setahun, tenaga pengajar yang
sederhana aktif akan menghadiri sekurang-kurangnya 5 kali bengkel, beberapa
kali seminar yang membentangkan kertas kerja (bukan sahaja menghadiri),
berkursus tentang banyak perkara berkaitan bidangnya, membuat penyelidikan,
malah ada masanya mereka perlu menjelajah beberapa lokasi seluruh negara
sekiranya mengajar untuk pengajian jarak jauh. Kalau setiap kali keluar untuk
semua aktiviti ini, gaji pensyarah akan naik, mendapat elaun dan sebagainya,
saya sangat pasti saya akan menjadi kaya sejak lima tahun lepas. Namun, hingga
kini, saya masih lagi belum kaya sebegini. Gaji bulanan belum juga cecah puluh
ribu ringgit sebulan.
Sebenarnya, entri kali ini saya rancang untuk menulis tentang
beberapa panduan melanjutkan pengajian kepada adik-adik lepasan SPM yang gagal
mendapat tempat di IPT. Namun, menulis secara spontan menyebabkan tulisan ini
tidak terarah ke situ. Ketika ini juga, saya menyedari bahawa dalam entri
lepas, saya janjikan untuk menyediakan tips dan petua untuk memikat hati
pensyarah anda agar memberi markah tertinggi bagi kursus yang anda ambil itu. Nampaknya,
saya berhutang dua perkara;
i.
Petua bodek
pensyarah tanpa menyalahi etika
ii.
Panduan
melanjutkan pelajaran selepas SPM
Kepada mahasiswa yang
sedang bercuti panjang, harapnya boleh memanfaatkan setiap masa yang ada. Masa
masih ada lagi sehingga selepas Aidilfitri. Andai ada yang berkerja sambilan
memanfaatkan cuti panjang yang lepas, gajinya walaupun tidak sebesar mana,
sudah boleh menampung kehidupan di kampus sementara mendapat bayaran pinjaman nanti.
Atau juga, kepada mahasiswa tahun akhir, sudah pasti bersedia dengan hal-hal
berkaitan projek tahun akhir. Persediaan awal memberi anda lebih banyak
kelebihan.
Sekian dahulu buat kali
ini. Semoga masih berkesempatan untuk bersua kembali dalam entri akan datang.
Selamat menjalani ibadah puasa, selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan
selamat kembali ke kampus semula untuk meneruskan pengajian pada semester baru.
Kepada adik-adik yang berjaya dan ditawarkan mengikuti pengajian di mana-mana
IPT, sekalung tahniah. Semoga ini menjadi langkah pertama untuk adik-adik
melakar masa hadapan.
Mengenai Penulis Entri Ini :
Maharam Mamat juga penulis untuk blog Dunia Menulis. Anda boleh mengikuti beliau di sini pada setiap Jumaat. Untuk membaca semua hasil penulisan beliau di blog 100penulis.com, anda boleh klik label Maharam Mamat. Entry terbaru di blog beliau ketika ini ialah Merosakkan Bahasa Ibunda .
10 comments:
Manusia ni, kalu tk kenal tk cinta dan tkkan memahami kalu tk tau.
Oh. This is something I've never think of.
Ingatkan workload untuk chegu sekolah lagi banyak berbanding pensyarah.
Cikgu sekolah menengah or pensyarah/tutor IPT?
Tolong rekomen.
Tengkiu!
:)
Jumir: setuju dengan pendapat anda. Ramai orang kita nak jadi cikgu hanya sebab 'kerja separuh hari" sedangkan tanggungjawab seorang guru itu sangat besar. Tanpa guru yang berkaliber, kami pensyarah di Universiti akan alami masalah yang bukan sedikit sekiranya pelajar lepasan sekolah tidak berkualiti dihasilkan.
Ambil tahu dahulu, kemudian cinta akan datang perlahan-lahan.
Kecik: Nampak macam mudah; pensyarah susah nak jumpa...selalu tak ada di pejabat. Itu bukan bermakna pensyarah berada di rumah sambil goyang kaki di kerusi malas dan baca akhbar. Tuntutan penilaian tahunan sangat besar, perlu juga penuhi KPI dan kalau anda perasan, agak ramai juga pensyarah yang terlupa untuk balik rumah kerana memikul terlalu banyak beban untuk dilaksanakan.
Tanya hati, kaji keupayaan diri. Jika anda seorang yang berwawasan tinggi, sanggup bersaing dan mengejar serta tidak lelah dengan pelbagai tuntutan, saya galakkan mohon jadi pensyarah. Syaratnya: perlu ada phD (IPT), namun jika di kolej swasta, ada yang boleh terima ijazah pertama atau master.
Kiranya anda berminat untuk curah ilmu kepada anak bangsa, tetapi tidak gemar bersaing dan berkerja kuat, saya cadangkan jadi guru (juga tetap besar tanggungjawabnya, tetapi penilaian tahunan tidak terlalu menghimpit).
Sama ada pensyarah atau guru, kedua-duanya tetap berbakti kepada anak bangsa, asalkan ikhlas...insyaAllah, kita mampu menyumbang terhadap pembangunan negara.
Bertahun bekerja sebagai RA kepada pensyarah. Sungguh, selepas menjadi pemerhati tetap dan penyiasat peribadi, saya merasakan hidup seorang doctorate, dibebani tugas yg bukan sedikit. Tanggungjawab mengajar, penyelidikan, kerja-kerja pengurusan dan persatuan membuatkan saya berfikir berkali-kali untuk menjadi pensyarah kembali.
antara kerja yg aku nk sangat buat,.. its fun ble dpt deliver ilmu :)
Diana: itu belum termasuk politik dan kroni dikalangan mereka ;)
Saiazuan: saya galakkan untuk anda memohonnya. Untuk orang yang gemar terkehadapan berbanding orang lain, kerjaya ini sangat kena...cabaran besar, tapi gaji sebenarnya tidak seberapa
politik dan kroni adalah sesuatu yg tidak pelik dalam organisasi..(Gov sector or private sector)
Paling susah bagaimana utk menghadapinya..kadangkala perlu bermuka-muka untuk nampak baik dan sempurna...
kerja yang banyak kerja - sangat banyak..apatah lagi beban mengajar (jika saya mampu sebut nama satu IPTA ) adalah lebih tinggi daripada IPTA yang lain. Dalamasa yang sama U berkehendak pensyarah terlibat dlm projek penyelidikan (yang ber dana @ tidak . Ini memerlukan dedikasi yang bukan sedikit..
saya sebenarnya agak buntu memikirkan arah tuju kerjaya selepas tamat belajar. antara kemahuan dan kemampuan.impian dan kenyataan.
saya pelajar TESL semester akhir. jujur saya sebenarnya penerima biasiswa KPM yg mana turut terikat dgn kontrak 5 tahun berkhidmat di sekolah.tetapi setelah praktikum di sekolah, mula rasa teragak2 untuk menjadi seorang guru.lalu terpikir untuk menyambung pelajaran,mahu terus ambil PHD kalau ada tawaran.syukur keputusan saban semester cemerlang, lalu makin berat rasa hati, mahu menyambung pelajaran berbanding menjadi guru.tapi kadang2 bermuhasabah,saya bukan lah seorang yang rajin dan teratur.memang risau jika tak dapat menghadapi cabaran.tetapi bila melihat rakan2 yang menyambung pelajaran,hati rasa tercabar.sejujurnya saya tidak boleh berbangga dengan diri jika hanya bergelar seorang guru.memang ada yang menasihati,tetapi kepuasan sendiri,orang lain takkan fahami.lalu diri kebuntuan.mahu menjadi penyarah untuk kepuasan diri tetapi risau tidak tertanggung,atau menjadi seorang guru (yang berdasarkan pembacaan dan pertanyaan kepada org lain lebih ringan tugas nya berbanding pensyarah) tetapi hidup dalam ketidakpuasan terhadap diri
Post a Comment