Friday, November 18

Negara berhutang Rakyat Bersalah?


Assalamualaikum...

Sehingga penghujung tahun 2010, Amerika Syarikat (AS) menduduki tangga pertama negara paling banyak hutang iaitu AS$13.9 trilion diikuti Kesatuan Eropah (AS$13.7 trilion), Britain (AS$8.9 trilion), Jerman (AS$4.7 trilion), Perancis (AS$4.6 trilion dan Jepun (AS$2.4 trilion)-Kosmo.
Alhamdulillah, sekali lagi berpeluang untuk berkongsi di sini. Umum mengetahui bahawa Jabatan Audit Negara telah mengeluarkan laporan audit negara Malaysia. Dalam laporan tersebut, beberapa isu menarik menjadi perbahasan ahli politik terutamanya pihak pembangkang. 'Peluru-peluru' dihamburkan walaupun proses laporan masih berjalan. Ada pihak yang mula terasa bahang dan tidak boleh duduk senang atau dengan kata lain, umpama 'cacing kepanasan'. Tiada atau kurang usaha memberi penjelasan hanya mengeruhkan keadaan. Ini ditambah lagi dengan penjelasan-penjelasan tanpa bukti-bukti statistik atau logik. Penyelesaiannya mudah, ada masalah, beri sebab-musabab dan seterusnya berikan jalan penyelesaian. Bukan memberi 1000 ALASAN.


Sebelum era globalisasi internet, isu seperti ini sukar timbul kerana maklumat dan 'khabar angin' seperti ini agak sukar tersebar melainkan melalui ceramah-ceramah subversif. Tapi kini, golongan yang terdedah dengan zaman internet sentiasa berada dalam 'curious'. Mereka sentiasa ingin tahu lebih dari apa yang akhbar-akhbar dan TV laporkan dan ini tidak mustahil apabila mereka mahir dalam melayari internet. Terima kasih diucapkan kepada kerajaan Malaysia kerana berjaya melahirkan generasi celik IT...Walau bagaimanapun, institusi kerajaan masa kini akan di dibayangi reformasi golongan celik IT jika masih mengekalkan corak pemerintahan bersandarkan era sebelum globalisasi. Ini kerana KAMI TAHU apa yang sedang berlaku atau lebih tepat...KAMI SEMAKIN SUKAR DITIPU oleh SESIAPAPUN.

Hampir lari tajuk...Apa yang nak dikongsi kali ini lebih kepada situasi negara kita yang kini dalam dilema berhutang. SiTukangTulis cuba mendapatkan semula laporan audit negara daripada website audit negara tapi gagal. Sama ada website ditutup untuk penyelenggaraan atau 'dihilangkan' sementara waktu. Walau bagaimanapun, laporan audit ini telah diulas pelbagai pihak di blog mahupun akhbar. Contohnya di asyrani.com. Berikut adalah petikan laporan audit negara yang sempat 'diselamatkan' sebelum ia hilang tanpa jejak (termasuk berita di Sinar Harian).
Ketua Audit: Hutang negara pada paras tertinggi
Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang hari ini mendedahkan bahawa hutang negara pada tahun lalu berjumlah RM362.39 bilion, iaitu paras yang paling tinggi dalam tempoh lima tahun.
Hutang itu mencakupi 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK), kali pertama keadaan itu berlaku dalam sejarah negara, kata beliau dalam laporan tahunan terbaru yang di bentangkan di Parlimen hari ini.
Hutang RM362.39 bilion ringgit yang disebut dalam laporan audit itu juga jauh lebih tinggi daripada RM233.92 billion yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Jun lalu.
Ketika itu Najib juga mendakwa hutang itu hanya mencakupi 34.3 peratus KDNK.
Dalam laporannya hari ini, Ketua Audit Negara menjelaskan hutang kerajaan meningkat dengan mendadak kerana hutang dalam negara yang semakin membesar.
Hutang kerajaan di dalam negara (domestic debt) pada tahun lalu adalah RM348.60 bilion atau 96.2 peratus keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan.
Jika dilihat daripada dua petikan berita di atas, ternyata HUTANG akan menyebabkan negara terjerumus ke dalam masalah kewangan. Pihak pentadbiran menjadi kambing hitam yang paling awal dipersalahkan dalam mana-mana institusi kerana mereka dianggap sebagai individu atau badan bertanggungjawab. Tapi, kenapa rakyat marhaen pula yang risau dan kecoh isu seperti ini? "Sudah tentu kami kisah kerana ia melibatkan periuk nasi kami, proses kelangsungan hidup kami dan sudah pasti masa depan generasi muda akan datang. Kami tidak mahu melihat negara sendiri di mamah kemiskinan dan kepapaan!". Ini seterusnya menyebabkan kita mempersoalkan kredibiliti institusi yang menguruskan wang dan secara tak langsung, mereka yang diberi amanah untuk 'mengembala' rakyat marhaen in dilihat gagal dalam menjalankan tugas mereka. Adakah pendirian ini adil?

Pasti ramai yang bersetuju dan ini tak dinafikan. Sudah menjadi kebiasaan masyarakat kita menuding jari kepada yang bersalah. Bersalah kerana jumlah yang menuding jari ke arah mereka lebih ramai daripada yang lain. Maka jumlah kumulatif menjadi rujukan dan asas menyatakan pihak mana yang bersalah. Semakin ramai yang tahu dan bersetuju dengan pendapat tadi, semakin ramai yang menuding jari dan akhirnya jumlah selain dari mereka menjadi terlalu kecil dan seterusnya diabaikan. Ramai yang terperangkap dengan fakta-fakta berangka dan statistik hingga lupa memandang isu yang sama daripada pelbagai sudut.  Adakah kita lupa, jari yang menuding jari ke arah pihak yang mungkin bersalah hanya satu sedangkan empat yang lain menuding si empunya tangan?

Empat jari menuding ke arah diri sendiri sedangkan hanya satu sahaja yang menyalahkan pihak lain.  Kita terlupa bahawa setiap unit dalam sesebuah institusi memainkan peranan penting dalam menguruskan institusi tersebut. Ada yang memerintah dan ada yang diperintah. Ada yang mengurus dan ada yang di urus. Hakikatnya, kegagalan sesebuah instittusi bukan sahaja disebabkan pengurus yang gagal mengurus tetapi juga apabila mereka yang diurus gagal berfungsidengan efektif. Dalam konteks sesebuah negara, Kerajaan adalah pengurus dan rakyat pekerja. Keduanya saling bertanggungjawab terhadap satu sama lain dan juga pembangunan sebuah negara. Bila mana salah satunya gagal atau kurang efektif, negara akan musnah. Jika pemerintah gagal mengurus, adakah rakyat gagal bekerja?

Apa yang ingin SiTukangTulis bawa adalah untuk kita sebagai rakyat berundur beberapa langkah dan muhasabah diri. Adakah masalah negara berhutang mungkin berpunca daripada kita, sebagai rakyat? Tun Mahathir dalam blognya, Chedet: The Failed Countries ada memberi penjelasan ringkas bagaimana rakyat di negara maju boleh menyebabkan negara muflis. Walaupun kita lihat negara seperti Amerika dan Eropah sebagai negara maju. Kini mereka bankrupt. Bagaimana sebuah negara yang berhutang dan bankrupt masih menjadi rujukan dan sandaran negara-negara lain? Kita biarkan persoaalan ini dijawab mereka yang lebih arif. Apa yang nak dibincangkan, apa peranan rakyat mereka hingga negara berhutang.

Seperti yang diringkaskan oleh Tun Mahathir, negara berhutang berkait rapat dengan rakyatnya yang hidup berhutang. Cuba kita muhasabah diri kita, berapa ramai daripada yang tidak berhutang? Nak beli rumah, berhutang. Nak beli kereta, berhutang. Nak kahwin pun ada yang berhutang. Sesuai dengan pepatah melayu, 'hutang di keliling pinggang'. Setuju? Mari kita lihat senario di Amerika dan Eropah. Adakah kita berbeza dengan rakyat di dua negara besar tersebut? Hakikatnya, mereka juga sama, malah lebih teruk mungkin. Segala urusan boleh berhutang dari lahir hingga mati. Kalau kita hutang di keliling pinggang, mereka hidup dengan berhutang!. Kemodenan dan kemajuan menyebabkan kita semua buta dengan risiko berhutang. Pasti ramai yang sedar betapa susahnya hidup dikelilingi hutang. Membayar hutang dengan berhutang dengan pihak lain. Hidup gusar dan risau membayar hutang. Kebahagiaan palsu kerana dijana dengan hutang. Jika difikirkan balik...betulkah kita bahagia? Atau sebenarnya kita MERANA?

Konsep hutang terutamanya dengan menggunakan kad kredit telah menyebabkan kejatuhan sistem kemasyarakatan. Jika seorang individu berhutang menyebabkan dia merana, susah dan kesah...bagaimana pula jika hampir setiap individu dalam masyarakat berhutang? Seluruh sistem masyarakat merana, susah dan terancam. Situasi ini akhirnya menular hingga keseluruhan sistem masyarakat dan negara terancam...Akhirnya, semua individu yang terlibat itu miskin dalam kekayaan yang palsu. Adakah ini yang kita sasarkan? Bagaimana jika sebuah negara wujud dalam berhutang? Bagaimana jika sebahagian besar negara dunia wujud dan stabil kerana hutang? Berapa nilai hutang seluruh negara di dunia jika dikira? Akhirnya, apakah nilai 'duit' yang kita ada sekarang? Its either nill or null.
Apakah jalan penyelesaiannya? Secara jujur...untuk menyelesaikan kemelut ini sepenuhnya hampir mustahil! Mustahil jika ia hanya digalas oleh sebelah pihak yang mengurus. Mustahil jika mereka yang diurus tidak sedar betapa signifikannya kesan yang disumbangkan mereka dalam kemelut ini. Mustahil jika kita marahkan nyamuk, kelambu yang dibakar. Apa yang penting adalah untuk setiap unit sama ada 'pengurus' atau 'yang diurus' sedar peranan mereka yang sebenar. Melantik 'pengurus' yang bertanggungjawab dan amanah adalah penting. Begitu juga menjadi 'pekerja' yang bertanggungjawab dan amanah. Berhenti menuding jari dan memberi alasan. Sama ada 'kekal' atau 'ganti' menjadi jalan penyelesaian. Sama ada kita terus menjahilkan diri atau kembali kepada 'sistem perundangan' yang disediakan Allah untuk khalifah di muka bumi ini. Mencontohi segala prinsip dan ajaran Nabi-nabi dan Rasul-rasul Allah, menghayati dan mengamalkan apa yang disampaikan dalam Al-Quran untuk mewujudkan masyarakat yang patuh dan taat kepada Allah.


No comments: